Informasi perubatan dalam Bahasa Malaysia sukar dicari di Internet. Saya harap usaha saya dapat memberi faedah kepada umum yang memerlukan penerangan dalam Bahasa Malaysia.

Friday, May 27, 2011

Mengenai Meningitis (Infeksi pada selaput otak)

Meningitis ialah inflamasi atau keradangan pada selaput otak, biasanya disebabkan bakteria, virus atau fungi.  Jika tidak dirawat dari awal, ia pantas membawa maut (70-100%).
Simptom meningitis datang dengan pantas (kurang daripada 48 jam).  Antara simptomnya ialah:
  • 1.       Pening kepala
  • 2.       Demam
  • 3.       Sakit badan
  • 4.       Sakit sendi
  • 5.       Muntah
  • 6.       Lemah dan mengantuk
  • 7.       Tidak boleh membuka mata dalam cahaya (photophobia)
  • 8.       Leher kejang dan tidak dapat bergerak
  • 9.       Berperangai pelik dan tidak seperti biasa
  • 10.   Ruam
  • 11.   Pendarahan (Disseminated intravascular coagulopathy)
  • 12.   Pernafasan terganggu dan tidak sekata
  • 13. Koma                       
Simptom-simptom ini kebanyakannya sama seperti demam biasa, terutamanya dari nombor 1 hingga 5.  Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada simptom-simptom yang lebih serius seperti di atas.  Oleh itu, meningitis ialah antara diagnosis penting yang perlu diuji, terutamanya jika pesakit ialah bayi atau kanak-kanak kecil (toddler).

Ujian yang perlu dilakukan untuk meningitis ialah:
  1. Lumbar puncture (cucuk untuk air tulang belakang): Air tulang belakang (cerebrospinal fluid) diambil untuk mikroskopi, kultur, ujian virus dan kandungan glukos dan kandungan protein.
  2.  Darah untuk kiraan sel (full blood count), glukos, elektrolit dan kultur bakteria/virus
  3.   Xray dada
  4. Kultur air kencing
  5. Calitan dari rongga hidung untuk kultur                                                   Untuk mencari 
  6.      Xray kepala jika disyaki pernah mengalami kecederaan kepala             sumber jangkitan

Terdapat beberapa faktor yang membuatkan risiko mendapat meningitis lebih tinggi daripada biasa.  Antaranya ialah:
  • 1.       Tempat tinggal/lokasi:  pusat jagaan kanak-kanak, sekolah, tempat yang tertutup dan ramai orang seperti asrama atau penjara
  • 2.       Kecederaan kepala terutamanya jika retak di bahagian bawah tengkorak (basal skull fracture)
  • 3.       Infeksi/jangkitan di tempat lain dalam badan seperti resdung, jangkitan kuman di telinga atau jangkitan paru-paru.
  • 4.       Faktor pesakit iaitu umurnya (bayi, kanak-kanak dan juga warga emas)
  • 5.       Rendah daya pertahanan badan seperti pesakit kanser, AIDS, kencing manis dan sebagainya.
Rujukan:
1. Longmore M, Wilkinson I, Torok E.  Oxford Handbook of Clinical Medicine 5th ed, 2001

Tuesday, May 17, 2011

Cucuk air tulang belakang? (Lumbar puncture)


Cucuk air tulang belakang? 
Kenapa doktor suka ambil air tulang belakang?  Boleh lumpuh kan?
Itulah reaksi yang sering doktor-doktor di Malaysia dapati apabila meminta keizinan untuk mengambil air tulang belakang, atau nama Inggerisnya, lumbar puncture. 
Sebenarnya mengambil air tulang belakang ini bukan suka-suka.  Prosesnya rumit sedikit dan ia hanya dilakukan jika pesakit betul-betul memerlukannya. 
Antara kegunaannya ialah diagnosa penyakit meningitis (infeksi selaput otak).  Meningitis disebabkan bakteria, virus atau fungi.  Simptom penyakit meningitis juga tidak spesifik: ia hampir sama seperti demam biasa.  Pesakit dewasa akan mengalami demam,  pening kepala, sakit badan dan sendi dan berperangai tidak seperti biasa.  Semakin lama penyakit ini tidak diubati, pesakit tidak suka cahaya terang (photophobia), sawan, ruam (jika berpunca dari bakteria Meningococcus) dan seterusnya koma.  Pesakit bayi dan kanak-kanak kecil lebih susah untuk didiagnosa kerana mereka tidak boleh mengadu kesakitan mereka.  Mereka juga lebih senang dijangkiti meningitis.  Oleh itu, mana-mana pesakit yang disyaki mengalami meningitis terutamanya bayi dan kanak-kanak perlu diuji air tulang belakangnya.  Air tulang belakang ini akan dikaji komposisinya dan dikultur untuk virus, bakteria dan fungi.
Pesakit akan dibaringkan secara mengiring di sebelah kiri.  Belakangnya akan berada di hujung katil; kedua lututnya dibengkokkan sepenuhnya ke dada.  Ini supaya ruang kecil antara tulang belakang bahagian lumbar terbuka.
(Gambar di atas menunjukkan LI ke LV = lumbar 1 hingga lumbar 5.  Perhatikan bahawa saraf tunjang berakhir di Lumbar 2.  Lumbar puncture dilakukan antara lumbar 3 dan lumbar 4.  Ini bermakna lumbar puncture mempunyai risiko yang kecil sahaja untuk memberi efek kepada sistem saraf tunjang. Sumber dari Gray's Anatomy)

Kemudian doktor akan merasa tulang belakang bahagian lumbar pesakit.  Ruang kecil antara tulang lumbar lumbar ketiga dan keempat ialah tempat di mana doktor akan mencucuk untuk air tulang belakang. 
Seterusnya doktor akan mencuci tangan, memakai sarung tangan steril dan mencuci tempat untuk lumbar puncture supaya steril. 
Ubat bius akan disuntik di bawah kulit di kawasan lumbar puncture tersebut.  Ini supaya proses lumbar puncture kurang sakit.
Kemudian, jarum lumbar puncture dimasukkan di ruang kecil antara tulang lumbar ketiga dan keempat.  Jarum ini kecil (22G) dan mempunyai dua komponen jarum: satu jarum mempunyai lubang kecil dan di dalam lubang itu ada satu lagi jarum biasa (supaya lebih senang melakukan lumbar puncture tersebut dan mengurangkan kesakitan pesakit). 
Jarum biasa itu akan ditarik keluar apabila jarum itu telah sampai ke ruang subarachnoid.  Ruang subarachnoid inilah yang mengandungi air tulang belakang.  Apabila jarum biasa itu ditarik keluar, jarum yang berlubang itu akan mengeluarkan air tulang belakang. 
Air tulang belakang yang diperlukan tidak banyak.  Untuk pesakit dewasa, selalunya kurang daripada 5-10 ml diperlukan.
Selepas pengambilan air tulang belakang, pesakit akan diminta berbaring terlentang selama satu jam.  Ini untuk mengelakkan pening kepala selepas pengambilan air tulang belakang.
Prosedur lumbar puncture tidak terkecuali daripada komplikasi.  Pesakit boleh mengalami pening kepala dan ini boleh dielak dengan berbaring selepas prosedur.  Air tulang belakang boleh mengandungi darah (bloody tap) jika jarum terkena pada salur darah halus di tulang belakang.  Pesakit yang mempunyai fungsi darah normal tidak akan mengalami komplikasi akibat bloody tap.  Infeksi juga satu risiko lumbar puncture tetapi risiko ini kecil kerana prosedur ini dilakukan secara steril.  Saraf tulang belakang boleh mengalami iritasi (dysthesia) yang menyebabkan sensasi yang keterlaluan atau berkurangan.  Risiko ini juga kecil kerana ia boleh dielakkan jika lumbar puncture dibuat mengikut prosedur yang betul.
Tahukah anda prosedur bius tulang belakang (spinal anaesthesia) sebelum pembedahan Caesarean juga mempunyai basis yang sama dengan lumbar puncture?  Bezanya ialah dengan bius tulang belakang, ubat bius akan disuntik terus ke ruang subarachnoid selepas beberapa ml air tulang belakang (sama dengan amount ubat bius) dikeluarkan.  Manakala lumbar puncture hanya mengeluarkan air tulang belakang dan tidak memasukkan ubat ke dalam tulang belakang.
Kesimpulannya, jangan takut dengan pernyataan “ambil air tulang belakang.”  Jika dibuat perbandingan, meningitis lebih jauh berkemungkinan tinggi untuk menyebabkan seseorang lumpuh jika tidak dirawat dengan cepat.

Rujukan:

1. Longmore M, Wilkinson I, Torok E.  Oxford Handbook of Clinical Medicine 5th ed, 2001.
2.Schlamovitz G.  Lumbar Puncture. EMedicine.http://emedicine.medscape.com/article/80773-overview 29 March 2011.
3. Gray, H. Anatomy of the Human Body. Philadelphia: Lea & Febiger, 1918; Bartleby.com, 2000. www.bartleby.com/107/.  

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivs 3.0 Unported License.

Saturday, May 14, 2011

Bahana ketagihan pethidine


Tahukah anda kematian Raja Pop, Michael Jackson, telah dikaitkan dengan pemberian ubat Demerol dalam dos berlebihan, atau nama generiknya pethidine? 
Sebenarnya saya pernah berjumpa dengan beberapa pesakit yang mengalami ketagihan pethidine, namun sifat mereka bukan tipikal seorang penagih dadah.  Ada surirumah, ada pakcik yang hampir pencen.  Mereka akan datang ke hospital atau klinik dan mengadu sakit kepala atau sakit perut yang sangat teruk sehingga perlu ubat yang sangat kuat.  Voltaren, tramadol?  Tidak akan meredakan kesakitan mereka.  Mereka perlukan pethidine.  Jika mereka bernasib baik (untuk mereka!), doktor itu tidak mengenali mereka dan mereka akan mendapat pethidine.  Jika kurang bernasib baik, doktor itu membaca nota pesakit dan mendapati pesakit itu menerima suntikan pethidine dua hingga tiga kali seminggu.  Ya, pesakit sudah ketagih!
Pethidine (istilah Malaysia: Petidina) ialah ubat penahan sakit (analgesik) tergolong dalam kumpulan analgesik opioid.  Opioid (nama lamanya: opiat)ialah bahan biologikal atau sintetik yang menyebabkan efek yang sama seperti dadah morfin.  Ia selalunya digunakan sebagai penahan sakit sebelum dan selepas pembedahan. 
Pethidine ialah analgesik opioid jenis sintetik.  Ia dikenali sebagai mebeverine di Amerika Syarikat.   Loya dan muntah ialah kesan sampingan yang lazim dialami oleh pesakit.  Akan tetapi, dengan dos yang tinggi, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius kepada pesakit. 
Seperti dadah morfin, ia menyebabkan perasaan euphoria (gembira yang keterlaluan) dan menyebabkan ketagihan kepada dadah pethidine itu sendiri.    Pergerakan usus dan hempedu akan perlahan menyebabkan tekanan yang tinggi di dalam perut, maka ia tidak sesuai untuk pesakit yang mengidap batu hempedu. Pergerakan usus yang perlahan ini juga menyebabkan sembelit. Dalam dos yang tinggi, ia boleh menghalang sistem pernafasan.  Selain itu, pethidine menyebabkan kegelisahan, kekeringan dalam mulut dan kekaburan pandangan akibat anak mata menjadi kecil. Ia berpotensi menyebabkan efek halusinasi dan sawan.  Risiko-risiko ini lebih tinggi apabila dos yang berlebihan diberi kepada pesakit. 
Masalah pemberian pethidine tanpa pengawasan ialah masalah ketagihan.  Pesakit yang mengambil pethidine senang mencapai toleransi dari segi dosnya.  Toleransi terhadap pethidine bermaksud dos yang diperlukan semakin tinggi untuk menahan kesakitan atau sindrom sarak (withdrawal syndrome).  Apabila dos yang tinggi diperlukan, risiko untuk mendapat dos berlebihan akan meningkat, seterusnya membawa kepada efek yang dihuraikan di atas.   
Ketagihan pada pethidine akan menyebabkan sindrom sarak (withdrawal syndrome) apabila pethidine dihentikan secara mengejut.  Sindrom sarak ini mempunyai dua komponen: fizikal dan mental.  Secara mental, pesakit merasakan bahawa dia sangat memerlukan  ubat tersebut dengan apa cara sekalipun.  Secara fizikal, pesakit boleh mengalami pelbagai simptom.  Pesakit akan mengalami demam, loya, berpeluh, cirit birit, sukar untuk tidur dan bulu romanya tegak (piloerection).  Mereka juga akan mudah gelisah dan akan mengidam pethidine tersebut.  Sindrom sarak ini akan memuncak pada hari kedua pethidine diberhentikan dan akan surut pada hari kelapan hingga hari kesepuluh.  
Bagaimanakah seorang yang ketagihan pethidine boleh mendapatkan bantuan?
Anda boleh mendapatkan bantuan doktor untuk dirujuk kepada pakar psikiatri yang boleh membantu.  Mengapa pakar psikiatri?  Pakar psikiatri boleh membantu mengatasi ketagihan yang dialami secara mental atau psikologi di samping merawat ketagihan secara fizikal.  Pusat Perubatan Universiti Malaya menyediakan perkhidmatan klinik ‘Substance Abuse’ untuk penyalahgunaan dadah.  Anda juga boleh meminta khidmat nasihat dari sukarelawan PEMADAM.  Keluarga dan teman rapat perlu memberi sokongan moral kepada pesakit.  Kenalilah bahawa pesakit mengalami ketagihan dan bawalah dia menerima rawatan, bukan dengan membawa pesakit ke klinik-klinik yang berlainan setiap hari untuk mendapatkan pethidine.  Jangan lupa dekatkan diri anda dengan Tuhan. 

Rujukan:
1.       Potter M. Michael Jackson: Don’t blame it on the opiates. The Times.  4 July 2009. http://www.timesonline.co.uk/tol/life_and_style/article6632304.ece
2.       Rang HP, Dale MM, Ritter JM, Moore PK. Pharmacology 5th ed, 2003.

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivs 3.0 Unported License.