Tahukah anda kematian Raja Pop, Michael Jackson, telah dikaitkan dengan pemberian ubat Demerol dalam dos berlebihan, atau nama generiknya pethidine?
Sebenarnya saya pernah berjumpa dengan beberapa pesakit yang mengalami ketagihan pethidine, namun sifat mereka bukan tipikal seorang penagih dadah. Ada surirumah, ada pakcik yang hampir pencen. Mereka akan datang ke hospital atau klinik dan mengadu sakit kepala atau sakit perut yang sangat teruk sehingga perlu ubat yang sangat kuat. Voltaren, tramadol? Tidak akan meredakan kesakitan mereka. Mereka perlukan pethidine. Jika mereka bernasib baik (untuk mereka!), doktor itu tidak mengenali mereka dan mereka akan mendapat pethidine. Jika kurang bernasib baik, doktor itu membaca nota pesakit dan mendapati pesakit itu menerima suntikan pethidine dua hingga tiga kali seminggu. Ya, pesakit sudah ketagih!
Pethidine (istilah Malaysia: Petidina) ialah ubat penahan sakit (analgesik) tergolong dalam kumpulan analgesik opioid. Opioid (nama lamanya: opiat)ialah bahan biologikal atau sintetik yang menyebabkan efek yang sama seperti dadah morfin. Ia selalunya digunakan sebagai penahan sakit sebelum dan selepas pembedahan.
Pethidine ialah analgesik opioid jenis sintetik. Ia dikenali sebagai mebeverine di Amerika Syarikat. Loya dan muntah ialah kesan sampingan yang lazim dialami oleh pesakit. Akan tetapi, dengan dos yang tinggi, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius kepada pesakit.
Seperti dadah morfin, ia menyebabkan perasaan euphoria (gembira yang keterlaluan) dan menyebabkan ketagihan kepada dadah pethidine itu sendiri. Pergerakan usus dan hempedu akan perlahan menyebabkan tekanan yang tinggi di dalam perut, maka ia tidak sesuai untuk pesakit yang mengidap batu hempedu. Pergerakan usus yang perlahan ini juga menyebabkan sembelit. Dalam dos yang tinggi, ia boleh menghalang sistem pernafasan. Selain itu, pethidine menyebabkan kegelisahan, kekeringan dalam mulut dan kekaburan pandangan akibat anak mata menjadi kecil. Ia berpotensi menyebabkan efek halusinasi dan sawan. Risiko-risiko ini lebih tinggi apabila dos yang berlebihan diberi kepada pesakit.
Masalah pemberian pethidine tanpa pengawasan ialah masalah ketagihan. Pesakit yang mengambil pethidine senang mencapai toleransi dari segi dosnya. Toleransi terhadap pethidine bermaksud dos yang diperlukan semakin tinggi untuk menahan kesakitan atau sindrom sarak (withdrawal syndrome). Apabila dos yang tinggi diperlukan, risiko untuk mendapat dos berlebihan akan meningkat, seterusnya membawa kepada efek yang dihuraikan di atas.
Ketagihan pada pethidine akan menyebabkan sindrom sarak (withdrawal syndrome) apabila pethidine dihentikan secara mengejut. Sindrom sarak ini mempunyai dua komponen: fizikal dan mental. Secara mental, pesakit merasakan bahawa dia sangat memerlukan ubat tersebut dengan apa cara sekalipun. Secara fizikal, pesakit boleh mengalami pelbagai simptom. Pesakit akan mengalami demam, loya, berpeluh, cirit birit, sukar untuk tidur dan bulu romanya tegak (piloerection). Mereka juga akan mudah gelisah dan akan mengidam pethidine tersebut. Sindrom sarak ini akan memuncak pada hari kedua pethidine diberhentikan dan akan surut pada hari kelapan hingga hari kesepuluh.
Bagaimanakah seorang yang ketagihan pethidine boleh mendapatkan bantuan?
Anda boleh mendapatkan bantuan doktor untuk dirujuk kepada pakar psikiatri yang boleh membantu. Mengapa pakar psikiatri? Pakar psikiatri boleh membantu mengatasi ketagihan yang dialami secara mental atau psikologi di samping merawat ketagihan secara fizikal. Pusat Perubatan Universiti Malaya menyediakan perkhidmatan klinik ‘Substance Abuse’ untuk penyalahgunaan dadah. Anda juga boleh meminta khidmat nasihat dari sukarelawan PEMADAM. Keluarga dan teman rapat perlu memberi sokongan moral kepada pesakit. Kenalilah bahawa pesakit mengalami ketagihan dan bawalah dia menerima rawatan, bukan dengan membawa pesakit ke klinik-klinik yang berlainan setiap hari untuk mendapatkan pethidine. Jangan lupa dekatkan diri anda dengan Tuhan.
Rujukan:
1. Potter M. Michael Jackson: Don’t blame it on the opiates. The Times. 4 July 2009. http://www.timesonline.co.uk/tol/life_and_style/article6632304.ece
2. Rang HP, Dale MM, Ritter JM, Moore PK. Pharmacology 5th ed, 2003.
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivs 3.0 Unported License.
No comments:
Post a Comment